Dakwah Islamiah Mendepani Cabaran Revolusi Industri 4.0
Keywords:
Dakwah, Mendepani, Cabaran, Revolusi Industri 4.0Abstract
Ledakan revolusi industri 4.0 memberi impak dan perubahan besar kepada pembangunan, perindustrian dan perekonomian sehingga mendorong generasi kini menerokai trendnya agar selari dengan gaya kerja dan gaya hidup semasa. Keupayaannya turut memperluas kapasiti dan transisi maklumat serta ilmu pengetahuan sekali gus bertindak sebagai pemudah cara dan solusi terkini. Trend revolusi industri 4.0 turut berupaya merancakkan pensejagatan dakwah Islamiah dengan peranti, teknologi dan aplikasi pintar yang memaksa penglibatan langsung para da’ie untuk turut berevolusi dan tidak statik dengan pendekatan tradisi. Namun begitu, penyebaran dakwah palsu dan ajaran sesat turut berleluasa dan semakin membimbangkan yang jika tidak ditangani segera akan mengoyahkan pegangan masyarakat Islam dan mengugat ketulenan ajaran Islam itu sendiri. Justeru, kepakaran para da’ie tidak lagi terbatas kepada memiliki disiplin ilmu Islam sahaja bahkan perlu menguasai dunia teknologi terkini agar mampu mendepani apapun cabaran yang cuba mengugat kedudukan Islam melalui revolusi industri 4.0. Maka artikel ini mengupas cabaran yang berlangsung dalam menyampaikan dan menyebarkan dakwah Islamiah melalui era revolusi industri 4.0 ini, yang nyata berbeza dengan medium sebelumnya. Kajian kualitatif berbentuk deskriptif berupa dokumentasi digunakan bertujuan meninjau perjalanan dakwah Islamiah dan cabaran dalam mendepani trend dunia hari ini. Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan bahawa penguasaan ilmu Islam tulen dan keilmuan teknologi terkini mempunyai hubungan yang kuat dalam penyebaran dakwah Islamiah pada masa kini, supaya pendekatan yang dilaksanakan berkesan dan mencapai objektif khususnya dalam menyampaikan dakwah Islamiah yang berlunaskan al-Quran al-Karim dan al-Sunnah al-Nabawiyyah agar seiring dengan keperluan dan cabaran masa kini.